Together Till Jannah. Kerana kehidupan ini sementara…..

Tuesday, 12 July 2016

Pesan Atuk

07 Syawal 1437H
12 Julai 2016


Assalammualaikum WBT

Tarikh ini istimewa kerana ianya tarikh kelahiran seorang sahabat syurga (insyaAllah) ummi, mama nurmaya. Pelbagai ranjau kehidupan ummi dikongsi bersamanya, dari mula perkenalan tahun 2002 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP), hingga kini. Semoga Allah memberkati beliau sekeluarga. 

Sesuai dengan tajuk kali ini, ummi nak berkongsi cerita tentang atuk (moyang). Atuk ini adalah mak kepada abah ummi, sekarang berusia hampir 86 tahun, atau lebih (orang dahulu tidak tahu tepat tarikh kelahiran kerana kad pengenalan masih belum wujud zaman itu).

Atuk, pada ummi, adalah seorang insan yang sangat mengagumkan. Pertamanya, Allah pelihara ingatan beliau, asbab atuk sangat menjaga solat awal waktu, membaca al-Quran, puasa sunat dan membaca kitab. Tegurannya jelas dan tegas. Atuk terkilan tidak dapat meneruskan persekolahannya kerana dipaksa kahwin pada usia 12 tahun zaman jepun, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini. Bagaimana atuk belajar membaca? Senyap-senyap atuk belek buku sekolah anak-anak untuk belajar membaca, di malam hari. Cerita tentang atuk ini, mungkin 7 hari 7 malam tak habis. 

Atuk, sangat penjimat. Tak kira lah waktu susah atau senang. Atuk pernah hidup di zaman jepun, dan sekarang hidup bersama maksu (orang penting Exxon Mobil) di villa mewah di PD. Namun atuk tetap begitu. Tiada sesuap nasi pun beliau akan buang. Tiada sesudu lauk pun yang beliau tidak simpan. Sangat jimat. Di Villa maksu yang besar itu, masih menggunakan periuk nasi, pembakar roti, pengisar dan periuk yang berpuluh tahun usianya. Usah ditanya apa jenama. Apa saja yang dimiliki atuk, akan dijaga sebaiknya. Setiap benda, ada kegunaannya. 

Ini antara apa yang atuk buat, yang ummi ingat. Terlalu luas ilmu atuk, belum sempat ummi pelajari semua. 

Sarung bawang, dibasuh elok, diisi limau purut untuk digosok ke rambut, baru dibuang. 

Basuh karpet, cermin motokar, cermin tingkap rumah? Pakai minyak tanah (satu baldi beberapa sudu minyak tanah). Karpet hendaklah digosok satu hala sahaja.

Tiap-tiap minggu, atuk rebus baju anak-anak semua dalam tin minyak tanah, dicampur sedikit dengan sabun cap kapak. Alhamdulillah anak-anak atuk tidak pernah kena sakit kulit pelik-pelik. (orang sekarang ni malas...kata atuk - dush..memang betul pun)

Sabun cap kapak itu serbaguna, itulah sabun basuh baju, itulah sabun mandi, muka dan rambut.

Lauk pauk yang tidak habis (termasuk nasi) tak pernah dibuang. Disimpan, dan di'kahwin'kan jika perlu. 

Kain perca, memang tak pernah dibuang. Sentiasa atuk jadikan alas kaki, selimut dan sebagainya. (jahit tangan je orang dulu..)

Kain sarung, disusun dengan tangan dan ikat dengan tali. Atuk tidak suka macam kain baju kurung yang dijahit, susah kering katanya. 

Tahu setiap sukatan periuk, mangkuk kepunyaannya (atuk sangat pandai matematik ya), contohnya hendak buat kek, satu mangkuk tu, satu cawan tepung, satu cawan gula, sebutir telur, marjerin jika perlu. Kacau-kacau, bakar, atau kukus, pakai periuk atas dapur pun boleh. Jika tetamu datang, ini resipi cepat atuk. (Orang sekarang nak buat kek, satu meja penuh dengan segala benda alat sukat, bahan dan sebagainya..- oh sangat betul). 

Atuk sangat rajin bereksperimen. Contoh satu kesimpulan atuk, untuk cuci barang-barang tembaga, emas, pakai bahan yang masam macam asam jawa, limau. (ok teori asid alkali di situ). 

Atuk sangat pakar memasak, apa sahaja, walaupun dia sendiri tidak makan apa yang dimasaknya itu. Contohnya babat (perut lembu), ada cara basuhnya. Kambing, ada tempat hilangkan hamisnya. Termasuklah teh tarik dan roti canai mamak. Kata jirannya, mereka tidak nampak anak-anak lelaki atuk makan di warung-warung, kerana semuanya tersedia di rumah.

Atuk sangat cermat. Barang-barang atuk semuanya usia lebih belasan tahun (termasuk barangan elektrik). Walaupun arwah Tok Ayah dulu seorang polis, sentiasa berpindah randah (satu semenanjung), tiada pernah pecah satu cawan pun sepanjang proses pindah. Begitu teliti atuk kemas dan balut satu persatu barangannya.

Atuk sangat pembersih. Atuk tidak akan boleh tidur malam, walaupun penat bagaimanapun, jika dapur (sinki) masih belum kemas. Dikala orang sekarang 'memperjuangkan' hak makan di khalayak ketika uzur, anak-anak atuk dahulu tidak tahu pun bila masa atuk uzur. Hatta kain perca (pad) pun atuk basuh dan sidai waktu malam, atau waktu anak-anak tidak nampak. MasyaAllah. Tinggi sekali sifat malunya. 

Bab makan, insyaAllah atuk sangat suka ulam-ulaman sehingga doktor2 seringkali memuji kecantikan kulit atuk yang telah berusia. Atuk ada amalkan air rebusan daun betik (sila nangis), sehinggakan semasa pembedahan membuang hempedu/batu karang (ummi kurang pasti), atuk hairan melihat perut yang hanya satu tebuk. Menurut doktor, perut atuk bersih, jadi proses itu menjadi senang. 

Pendek kata, atuk sentiasa menggunakan apa yang ada disekelilingnya, tidak pernah gaduh hendak membeli barang-barang baru untuk membuat sesuatu. Peniaga-peniaga yang datang dekat atuk seolah-olah 'silap besar'. Hatta anak atuk sendiri nak menjual sesuatu, ditolak atuk mentah-mentah. "kalau semua orang macam mak ni, tutup la semua kedai." Sesuatu ni selalunya peralatan, contohnya periuk bagi cepat masak. Kata atuk, pakai periuk aku tu, masak juga, apa bezanya? hehe..

Zaman anak-anak atuk dah besar, atuk keseorangan di rumah, atuk pernah 'ketagih' main congkak dan daun terup. Sorang-sorang. Usah dilawan dua permainan itu dengan atuk, atuk pasti menang. Tetapi menyedari ketagihannya itu, atuk membakar kesemuanya, papan congkak dan daun terup. (kita kena bakar telefon pintar nampak gaya ni). 

Yang paling penting, atuk didik anak-anak lelaki atuk melawan arus. Anak-anak lelaki atuk semuanya membesar dengan pandai buat pelbagai kerja rumah sendiri. Kemas beg balik kampung sendiri. Uruskan barang dan pakaian sendiri. Pendek kata letak mana pun boleh hidup. Dan yang ada sekarang sentiasa memudahkan urusan rumah tangga dan membantu isteri di rumah, basuh sidai lipat baju (ya ummi belajar cara sidai dan lipat baju dengan abah), sapu dan mop rumah, pandai bertukang, betulkan motokar, dsb. Sentiasa ada idea untuk selesaikan masalah kehidupan seharian, sendiri. Contohnya abah. Hanya tugas memasak sahaja tugas mutlak mama, kerja lain abah sentiasa tolong uruskan. Termasuk kemas beg sendiri untuk balik ke kampung. Dan ada anak lelaki atuk yang menjahit sendiri cadar dan langsir pengantin untuk walimah anaknya! Apatah lagi anak-anak perempuan atuk. CEO kah, pensyarah kah, pada atuk kerja rumah tetap kena pandai. Hingga ke tua sayang adik beradik dengan utuhnya, tiada sebarang cerita perbalahan atau selisih faham antara anak-anak atuk. Cerita-cerita begini terasa seperti lagenda di zaman sekarang.

InsyaAllah lagenda atuk diteruskan oleh abah dengan cemerlang. Abah antara anak yang mendapat kredit secara terang-terangan daripada atuk. Semoga ummi berjaya menuntut dan mengamalkan sebahagian (jadilah) daripadanya, dan diturunkan kepada anak-anak ummi, baik lelaki mahupun perempuan. 

Atuk bersama anak dan menantu yang tinggal (atuk ada 2 anak dan 2 menantu yang telah meninggal), hanya seorang anak lelaki sulung atuk yang masih belum sampai ketika ini.


No comments: