Together Till Jannah. Kerana kehidupan ini sementara…..

Tuesday, 14 February 2017

Update 3rd Baby – Minggu ke 37

Bismillahirrahmanirrahim.

14.02.17 / 17 jamadilawwal 1438

Sekejap sungguh masa berlalu. Sembilan bulan berlalu bagai kilat. Ummi kini sudah pun menghampiri fasa terakhir kehamilan, nikmat indah kurnianNya.

Bila difikirkan setiap kejadian, kelelahan, kesakitan dalam mengandung, melahir, menyusu dan membesarkan setiap anak tu, rasa macam setiap kehamilan tu yang terakhir. Tapi fitrah ummi ni, bila dah habis tempoh menyusu dua tahun tu, mulalah teringat-ingat, rindukan saat2 proses kehamilan dan penyusuan itu. Allah juga Maha Berkuasa atas setiap sesuatu ya.

Okay, ummi dah mencecah minggu ke 37 hari ini. Ikutkan teori, minggu ke 38 sudah dikira ‘full term’. Anak bertuah ummi ni alhamdulillah aktif di dalam. Seronok kadangkala suruh ayah pegang perut, “Apa tu!!” reaksi ayah. “Mungkin lutut dia kot..” Bila rasa pergerakan membonjol tu. Gerakan anak ummi dalam perut adalah antara perkara yang paling membahagiakan dan paling dirindui kelak. Pelbagai aksi anak ummi, kadang-kadang rasa senak di tulang rusuk, kadangkala rasa pundi kencing ditekan lepas tekan balik, rasa bonjolan yang berjalan di bahagian tepi-tepi perut, rasa seluruh perut bergoncang, rasa macam ‘tickle’ di sesuatu tempat, rasa baby sedu (praktis menelan), rasa baby gerak lama (ummi pula kata eh tak tidur ke baby).. sungguh semua itu sangat menyenangkan hati ini. Alhamdulillah. Apa lagi nikmat Tuhanmu yang engkau dustakan.

Setakat ini, baju-baju baby boleh kata ummi dah basuh semua perlahan-lahan, maklumlah tempat sidai yang terhad di rumah comel kita tu. Makan minggu jugalah nak siap. Untuk baju-baju lama yang ada ‘tahi lalat’ dan kekotoran kekuningan itu (maklumlah sesetengah baju memang lama sungguh), ummi cuba rendamkan dalam cuka dan sodium bikarbonat. Tak pasti akan keberkesanan tu tapi insyaAllah rasa macam bersih kot. Bolehlah harap2 sekejap je baby dah membesar. Pampers pun ummi standby newborn dua pack, selebihnya beli saiz M.

Beg ke hospital pun baru-baru ni siap kemas. Tinggal masuk kurma dan madu saja rasanya.

Yang belum siap pun banyak juga. Rumah belum kemas bersih sepenuhnya (ummi macam nak surrender bab ni), terutamanya bilik yang bakal kita berpantang nanti. Banyak betul ‘khazanah’ yang ada di bawah katil tu. Laci pakaian baby pun belum betul-betul kemas, buat 2-3 bulan pertama tu insyaAllah kita pakai kotak saja. Botol-botol dan alat BF pun belum bercuci. Beberapa weekend kebelakangan ni ummi asyik kena masuk opis saja.

Berkenaan dengan pemeriksaan ummi yang makin kerap sekarang. Ada sedikit concern masa ummi checkup di azzahra. Pemeriksaan ‘fetal measurement’ ultrasound menunjukkan bacaan yang tidak seimbang antara biparietal diameter (BPD), femur length (FL), head circumference (HC), occipitofrontal diameter (OFD), humerus length (HL) dengan abdominal circumference (AC). Semua bacaan mengikut minggu kecuali AC. AC baby maintain di minggu ke 33. Doktor ada menyuarakan gejala IUGR (intra uterine growth restriction) di mana placenta ummi tidak membekalkan secukupnya apa yang baby perlukan. Situasi ini berbeza dengan SGA (small for gestational age), di mana ukuran di atas akan kecil secara keseluruhannya. Menurut doctor, kita akan tunggu hingga scan berikutnya jumaat (17/2/17) ini, jika keadaan masih sama, ada kemungkinan doctor akan induce ummi sebaik sahaja ummi cecah minggu ke 38 kehamilan, iaitu pada 21hb Februari 2017 (due ummi sepatutnya pada 07 Mac 17 awal dua minggu). Doktor masih boleh beri masa kerana pergerakan baby adalah aktif, hasil Doppler menunjukkan blood flow adalah ok, dan air ketuban ummi masih mencukupi.

Ok. Itu kesimpulan doctor pakar di Azzahra. Ummi? Masih berbelah bahagi untuk fikir apa-apa. Rasa bersalah juga masa geramkan kerja yang banyak haritu, ada terdetik nak baby keluar awal (dan normal dan sihat), tapi tak sangka pula komplikasi sebegini timbul. Untuk minggu ini memang deadline ummi ada 13, 14 (ni baru lepas satu tender) dan 16 Februari. 3 tender dalam seminggu. Ahad ummi masuk opis sampai malam. Memang rasa penat amat (walaupun lah bukan kerja macam bersawah padi atau menoreh getah kan, hehe).

Sebab semasa kehamilan abang amir dan aliff dulu, ummi tidak pernah lagi melalui situasi sebegini. Semua ultrasound yang dilakukan, adalah normal. Seronok tengok baby bahagia di dalam perut ummi. Cuma baby kali ni ada pulak dia main acah-acah ummi ya..


Jadi buat masa ni, ummi berdoa sahaja agar semuanya ok, baby keluar bila dia rasa nak keluar. Ikutkan ummi macam tak nak induce2 ni. Tapi masa yang sama, risau juga kalau ada risiko IUGR ni. Baby, kita fight sama-sama ya agar semuanya normal dan sihatkalau perlu juga induce ummi berdoa dan berusaha agar baby keluar sendiri sebelum tiba masa induce tersebut.

Selebihnya ummi berdoa, agar ada berita baik hari jumaat ini. Ameen..



No comments: