Bismillahirrahmanirrahim.
11 Syaaban 1439H
Jumaat 27 April 2018
Let me
write this with tears in my eyes.
Anakku.
Dunia yang semakin mencabar dan sukar. Digolek macam mana pun istilah saham
dunia saham akhirat itu, tetap kita didesak untuk untung besar bila berniaga.
Tetap dianjur untuk tambah pendapatan itu ini untuk hidup senang. Natijahnya?
Lahirlah orang-orang Islam yang, pagi petang siang malamnya hanya berfikir cara
untuk menambah keuntungan. Walaupun katanya keuntungan itu untuk disalurkan
kembali kepada yang memerlukan. Ya tak salah. Tapi apa jadi kepada masa untuk
hubungan kita dengan Pencipta? Apa jadi dengan masa untuk kita hadir ke
kuliah-kuliah, menimba ilmu. Contoh ummi ni, ilmu fardhu ain pun belum tentu
boleh mumtaz, usahlah lagi berbicara tentang ilmu tasawuf. Ilmu hadis. Ilmu al-Quran.
Adakah kita membahagi masa untuk ilmu kewangan/bisnes/dunia sama banyak dengan
ilmu ke akhirat? Bersediakah kita untuk ke alam barzakh?
Jujurnya
ummi kata, belum. Belum sama jumlah peruntukan keduniaan dan keakhiratan ummi.
Pengakuan ikhlas ummi.
Tambah di
kala keadaan ekonomi kita, pemerintah kita, yang menuntut kita untuk melebihkan
urusan keduniaan daripada keakhiratan. Ya memang berat untuk hidup zaman ini.
Apatah lagi hidup senang. Ya benar. Tapi jangan sesekali kita lupa di mana yang
kita akan hidup kekal. Bukan di sini. Bukan di dunia.
Mungkin
kata kita, takpa, kerja itu ibadah. Ok baiklah. Adakah pahalanya sama seperti
pahala ibadah solat, puasa, mencari ilmu? Sejauh mana kita yakin kerja kita
100% diredhai Allah dan RasulNya. Dan
jika benar, adakah solat kita, ada 20%
daripada sempurnanya solat Rasulullah? Tahukah kita bagaimana Rasulullah
bersolat?
Ummi
sendiri, cetek benar ilmu agamanya. Sikit benar kesempurnaan kekhusyukan
solatnya. Banyak pula rasa dosanya.
Anakku.
Atas sekelumit kesedaran yang ada, ummi dan ayah usahakan membuka Tadika.
Tadika yang ada konsep dan matlamat kami tersendiri. Tadika untuk sumber rezeki
halal dan baik, yang boleh dikatakan cukup makan keperluan harian kita
sekeluarga. Dan membuka sedikit sebanyak peluang rezeki kepada beberapa yang
lain. Hasil pendapatan Tadika ini, tidak cukup pun untuk kita bermewah dengan
rumah besar, kereta mewah, melancong, hatta naik kapal terbang sekalipun
membuatkan ummi ayah berfikir sejuta kali.
Kata ayah,
rezeki di bawah nama Allah, Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Bawah Ar-Rahman, rezeki
Allah memang dikecapi semua orang. Kafir, zionis, Donald Trump, Firaun, Karun,
Britney Spears, Mahatma Gandhi, dan banyak saja orang-orang Islam yang kaya
raya. Semuanya atas nama Ar-Rahman. Berniaga, makan gaji, perdana menteri,
nelayan, apa sahajalah.
Tetapi
ujar ayah lagi, kita nak kejarkan rezeki di bawah Ar-Rahim. Ini lebih spesifik.
Rezeki berupa nikmat iman, islam, taqwa, lancar membaca al-quran, anak soleh
solehah…tidak hanya terhad kepada duit
semata-mata. Maka kami usahakan sebuah Tadika yang kami yakin tiada syubhahnya.
Ummi bagi contoh, hatta kerja tukang jahit sekalipun mesti berhati-hati, kerana
jika hasil jahitannya mendedahkan aurat, atau ketat, maka ‘saham’ turut
diperolehinya. Kerja di 7e, atau speed mart sebagai cashier di kaunter, jika
ada pelanggan membeli arak, kita pun tahu apa hukumnya berurusniaga perkara
haram. Apatah lagi kerja bahagian perniagaan yang melibatkan nilai yang tinggi,
dan dengan orang-orang atasan yang ‘tinggi’, maka tinggi juga selalunya nilai
rasuahnya. Ini ummi berani berkata kerana pernah menjadi saksi. Apa pula hukum
rasuah?
Jadi,
untuk meraih rezeki yang halal dan baik bukan mudah. Lihat bagaimana para
sahabat dulu menjaga apa yang masuk ke perut mereka dan keluarga? Sanggup
mereka mengorek memuntahkan kembali rezeki yang syubhah, apatah lagi yang
haram. Mengapa tiba di zaman sekarang semuanya menjadi mudah dan tidak dikira?
Anakku.
Realiti sebuah Tadika. Kanak-kanak usianya 3 hingga 6 tahun. Masih memerlukan guru
untuk membasuh hadas kecil mereka. Menukar lampin mereka. Menyuapkan makan
mereka. Membancuh susu dan menidurkan mereka. Dan yang paling utama mendidik
mereka, menjadi seorang insan kamil. Kenal huruf, kenal abjad, kenal solat,
kenal doa, kenal yang baik dan buruk. Dengan segala apa kudrat yang ada, segala
kesabaran yang ada, buang jauh segala resah hati sendiri, masalah sendiri,
senyum ceria untuk menghadapi wajah anak-anak kecil tersebut.
Realiti
lagi ummi berikan. Tidak ramai insan yang mampu membuat kesemua yang ummi
senaraikan di atas. Tidak senang mencari insan yang turut mengharapkan saham
akhirat yang banyak, mengalir dalam setiap ajaran mereka kepada anak-anak ini.
Sukar sungguh mencari insan yang boleh bertahan, dengan tugas yang sungguh meruntun
kepenatan fizikal, mental dan emosi, dengan gaji yang tidak setinggi perdana
menteri. Kami, tidak mampu memberikan gaji yang lumayan kepada insan-insan
istimewa bernama pendidik, sekalipun telah berjumpa. Kerana kami tidak sampai
hati juga meminta yuran tinggi kepada ibubapa, yang turut menanggung kesan
kegawatan ekonomi tetapi mahukan pendidikan dan persekitaran yang terbaik untuk
anak-anak mereka. Maka kerana kurangnya ummi ayah berjumpa dengan insan
pendidik berjiwa sebegini, maka kurang juga ummi dan ayah berani mengambil
ramai anak-anak. Biar yang ada lebih kualitinya. Biar yang ada, kurang pening
ragam ibubapanya. Biar yang ada, terpelihara. Sebab dengan izin yang Esa,
walaupun saban tahun ummi buat kira-kira rasa tak cukup, tapi sehingga kini, Alhamdulillah
Tadika kita masih disitu. Beroperasi dengan segala apa yang ada. Meriah dengan
para ibubapa yang baik. Kurang benar jika dikira, kes pening kepala melibatkan
ibubapa. Itu juga rezeki yang kita tidak nampak di mata.
Anakku.
Oleh itu ummi ayah cuba jelaskan matlamat, kukuhkan iltizam di jiwa. Yang mana
bisnes ini tidak bertujuan untuk kaya raya di dunia, tetapi harapnya dapat
menatap wajah Pencipta dan kekasihNya di akhirat sana. Yang mana setiap huruf
setiap ilmu diajarkan dengan getar dijiwa yang ianya bakal dimanfaatkan
sebaiknya, dan menjadi saksi di depan yang Esa. InsyaAllah perjuangan
memberikan ilmu di sini juga dikira Allah sebagai fisabilillah, perjuangan yang
elok disokong dan dibantu oleh mereka yang berada. Kerana jika ada lebih rezeki
berupa wang, suka benar ummi ayah sedikit sebanyak salurkan kepada para
pendidik hebat yang ada. Kepada ahli keluarga yang perlu. Kepada yang susah
disekeliling kita. Berkongsi apa yang ada. Namun apa yang perlu dipahat
diminda, rezeki dan manfaat kepada yang memerlukan tidak terhad dalam bentuk
wang ringgit semata-mata. Menyampaikan pada para guru agar redha dan berlapang
dada untuk setiap ilmu disampaikan pun termasuk dalam menyebarkan manfaat. Agar
kita semua sedar, yang bukan hanya harta dunia perlu dicari. Harta akhirat
juga.
Dari Anas
bin Malik R.A katanya, Rasulullah S.A.W bersabda: ”Sesungguhnya apabila
orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya
itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya
disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia
berhubung dengan taatnya.”
(Riwayat
Muslim)
Allah juga
yang Maha Mengetahui dan Maha Menilai.
Betulkan
ummi, jika ada sebarang tulisan ummi yang kurang tepat dan maafkan ummi andai
terasa. Ummi coretkan untuk peringatan ummi juga, disamping bercerita.
Jom kita
renung dalam-dalam maksud ayat ini.
“Dan
apabila mereka melihat perdagangan atau permainan, mereka segera menuju
kepadanya dan mereka tinggalkan engkau (Muhammad) sedang berdiri (berkhutbah).
Katakanlah, "Apa yang di sisi Allah lebih
baik daripada permainan dan perdagangan”, dan Allah pemberi rezeki yang
terbaik.” Al-Jumuah (11).
Memetik
kata-kata insan di alam maya:-
"Tipudaya
dunia.
Biar miskin harta
Jangan miskin iman."
Biar miskin harta
Jangan miskin iman."
(Puan Fadillah Nur)
Wallahua’alam.

No comments:
Post a Comment