Together Till Jannah. Kerana kehidupan ini sementara…..

Thursday, 16 February 2012

Sajak persaraan buat mama

Bismillahirrahmanirrahim...

Ini merupakan sajak untuk persaraan mama yang dikarang khas oleh saya. 
Mama akan bersara pada hari ini, 16 Februari 2012, genap usia mama 58 tahun.


Selamat Hari Lahir mamaku...

Sudah terlalu lama mama berkerja, mencurah bakti memadu tenaga.

Oh ya, mama adalah seorang petugas kesihatan. Bermula dengan jururawat, jururawat terlatih (staff nurse) dan berakhir dengan ketua jururawat (sister). Kepakaran bahagian infection control.

Mama adalah seorang isteri yang baik, mama yang hebat, jururawat yang cekal...


Seringkali termenung memikirkan bagaimana mampu mama bertahan membesarkan 5 orang anak, kerja yang penuh bebanan dan tak tentu masa..

Kasih sayang la kan? Tapi memang mama ni 'superwoman'. 
Saya sentiasa bersyukur atas anugerah menjadi anak mama, dan selamanya mendoakan kesejahteraan mama dan abah, dunia dan akhirat..


Jomlah kita layan sajak yang tak seberapa ni....

Berakhir sudah
sebuah kisah
yang panjang membentuk sejarah
melakar pelbagai cerita
cerita suka cerita duka
pengalaman tiada bandingan
kepenatan tiada tandingan
keputusan mencabar akal
tanggungjawab membakar semangat
komunikasi membentuk ukhwah
kasih sayang memberi kekuatan
masalah mencetus kedewasaan

Berakhir sudah
kelmarin yang sibuk mengejar masa
Masa berlalu membawa nyawa
Masa berlalu mencoret ceria
Masa juga menjalin setia
Pada rakan-rakan sekerja
Pada pesakit yang kunjung pergi
Pada atasan yang mewarna kerjaya

Berakhir sudah
Masa memilih kerjaya atau keluarga
Masa memilih bersama atau berusaha
Masa memilih berbakti atau cuti raya
Berakhir sudah…

Ilmu ditimba bukan sia-sia
Pengalaman ditempuh bukan sementara
Persahabatan dibina bukan dilupa
Bakti dicurah tidak pernah dikira

Namun…
Usia diri bukan selamanya
Kelelahan ini mungkin dikemuncaknya

Biarlah..
Biarlah perjalanan ini diteruskan
Bakti ini dipanjangkan
Oleh mereka yang lebih berkelayakan
Oleh mereka yang lebih bertenaga

Sehingga kini..
Sampai sini
Biarlah saya mengundur diri
Hasrat hati ingin berehat
Hasrat hati ingin beribadat
Meluangkan masa bersama keluarga tercinta..

Pesanan dari jiwa
Perjalanan kerjaya ini satu perjuangan
Sehingga masa menentukan
Teruskan memberi perkhidmatan
Kepada mereka yang memerlukan
Dengan penuh senyuman
Dengan penuh keikhlasan
Dengan penuh kesabaran..














K/J Piah

Hospital Bukit Mertajam 
1990-2012 (22tahun)

Juruwat 
1977-2012 (35 tahun)

Semoga mama dapat lebih rehat lepas ni, dikurniakanNya peluang bertemuNya di Tanah Suci Mekah, lebih masa berkualiti dengan abah, lebih masa menimba ilmu, beribadat...

Ikhlas dari,
Angah
1984-2012 (28tahun)

No comments: