Together Till Jannah. Kerana kehidupan ini sementara…..

Friday, 5 September 2014

Rentetan Kemalangan di Shell Equine

Bismillahirrahmanirrahim
10 Zulkaedah 1435
05 September 2014


Sekian lama saya tidak mengemaskini blog ini. Namun perkara yang terjadi hari ini cukup meruntun hati dan jari saya untuk mencoret. 

Bukan saya nak ‘highlight’kan sangat isu kemalangan ni. Media social sudah cukup merempah ratus dan menggaramkan cerita sebegini. Baik, saya cuba menggarap seringkas dan menumpukan apa yang perlu ditumpukan.

Kisah terjadi pada pagi 04/09/14, khamis bersamaan 9 Zulkaedah 1435. Dua orang rakan pejabat datang ke pejabat melalui kawasan berkenaan dan ternampak mayat di tepi jalan. Seorang semasa mayat masih tidak bertutup dan seorang lagi sampai kemudian selepas pihak polis sampai dan mayat sudah bertutup. Tidak berapa lama kemudian gambar arwah yang dalam keadaan tak sewajarnya (baca: ngeri) disebarkan secara meluas untuk mencari waris (err saya memang tak berapa berkenan budaya ‘forward2’ secara ‘whatsapp’ dan ‘facebook’ ini. Mudaratnya hampir sama/lebih banyak dari manfaat.)

Rupanya, kemalangan adalah antara lori dan motor. Cerita sebenar saya kurang pasti. Tapi, pemandu lori berkenaan telah lari meninggalkan lorinya. Dompet dan telefon arwah juga turut lesap! Maka identity arwah tidak dapat dikenal pasti. Itu penyebab gambar tersebar, untuk mencari waris.

Ditakdirkan Allah, ibu bapa mangsa mengetahui berita ini lewat petang, selepas selesai bedah siasat dijalankan di hospital. Dan juga, merupakan jiran flat rakan pejabat ini. Jadi rakan inilah yang menceritakan kejadian seterusnya.

Anak muda yang dijemput Ilahi ini baru berumur 18tahun. Ibu bapa berkerja, tidak sempat beramah mesra dengan jiran tetangga dan ahli-ahli surau. Dan tidak mendaftar kariah.

Pabila terjadi kematian sebegini, maka segalanya menjadi isu. Isu bayar untuk tanam, isu tahlil siapa nak keluar duit untuk makan/minum, isu ibu bapa tak campur aktiviti surau bila terjadi begini susah, isu kawan-kawan motor datang melawat sehingga hingar satu flat, isu pemegang duit yang dikatakan nampak alim berserban dan solat sunat semua tapi bila jadi macam ni pun berkira juga, dan pelbagai isu lain yang sungguh menyesakkan dada.

Inilah isu yang cuba saya kongsikan. Jadi bila perkara sebegini berlaku, ada juga saya terasa tempiasnya. Kerana ditakdirkan Allah, saya dan seorang lagi rakan opis, Alhamdulillah bertutup litup bertudung labuh. Antara ayat-ayat yang memedihkan hati keluar,

“Tak sangka pakcik yang surau sentiasa pergi dengan solat sunat pukul 3 pagi semua, bila jadi macam ni pun berkira, kes kematian kot…”

“Nampaklah perangai sebenar sesetengah orang bila jadi macam ni, tak sangka betul” (merujuk kepada orang-orang yang aktif di surau, lelaki dan wanita, kerana ada mereka berkata kepada ibu bapa si arwah tadi sebagai tidak aktif di surau, jadinya susah bila jadi begini)

“Itulah, ini (tangan diacukan ke kawasan kepala – merujuk kepada tudung dan serban), boleh tukar, tapi ini (tangan ditunjukkan ke hati) tak boleh tukar. Kalau dah hitam tu, hitam jugalah, pergilah masjid tiap-tiap hari pun..”

Pedih rasa hati. Apa masalah masyarakat kita ini? Apa masalah institusi islam kita ini?

Mengapa, urusan pengkebumian disusahkan? Mengapa tudung dan serban dikaitkan? Mengapa terlibat atau tidak aktiviti surau dibangkitkan? Mengapa turun masjid solat sunat semua disuarakan?

Kepada komuniti masjid/surau – berhemah dengan cara percakapan dan penilaian. Orang sedang melihat. Mungkin jika akhlak kita dihalusi, dengan berlaku peristiwa sebegini, orang yang tidak pernah terlibat dengan masjid/surau, akan tertarik hati untuk mendekat.

Saya rasa boleh maklum dengan keadaan tanah yang terhad, dan pelbagai urusan sampingan, sememangnya perkara ‘emergency’ sebegini memang menimbulkan kesulitan. Sebab itu memang pihak masjid/surau sering menyuarakan kepentingan mendaftar kariah ini. Supaya perkara sebegini tak terjadi. Bila terjadinya perkara sebegini, dan pihak masjid/surau berbunyi, masyarakat mudah pula melabel pihak ini sebagai ‘tidak wajar’, ‘tidak sensitif’ dan pelbagai label yang tidak enak di dengar.

Kepada masyarakat di luar sana, saya dan anda – Sama-sama kita bermuhasabah diri, bertafakur, berfikir. Sebagaimana kita tidak suka mendengar ‘mereka’ melabel macam-macam ke pihak lain atau kita, maka kita pun usahlah senang melabel orang-orang yang berusaha untuk menghidupkan masjid/surau.

Mereka juga manusia biasa, bukannya malaikat. Habis, jika golongan ini juga dikecam sebagai berhati hitam, berperangai tidak elok walaupun solat dan sebagainya, adakah anda pula yang hendak menggantikan mereka mengimarahkan masjid/surau?

Jika semua orang merasakan ‘tidak perlulah ke surau/masjid nanti orang ingat riya’, atau ‘asalkan hati aku baik dah la’, maka apa akan terjadi dengan surau dan masjid???
Apa lagi yang akan menjadi sumber perpaduan umat Islam???
Facebook dan WhatsApp kah??

Mungkin ada sesetengah golongan berhati hitam, mereka ke masjid untuk cuba memperbaiki diri, membersihkan hati. Alhamdulillah. Berbanding dengan berhati hitam tetapi selamanya tiada usaha mempertingkatkan amal dan iman, seolah tiada pernah diziarah Malaikat Izrail, si pencabut nyawa. Nauzubillah.

Kerana sesungguhnya menutup aurat itu adalah perintah Allah, Allah yang kita sembah setiap hari, Allah yang kita memohon macam-macam daripadaNya.

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al Ahzab:59)

Kerana sesungguhnya menghidupkan, mengimarahkan dan pergi berjemaah di masjid/surau adalah perkara yang sangat dituntut Rasulullah S.A.W..

Dari Ubay bin Ka’b ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan shalat subuh, selesai shalat beliau bertanya: “Apakah ada yang melihat fulan?” para sahabat terdiam, lalu mereka menjawab, “Ya.” Dan sahabat tersebut tidak hadir. Kemudian beliau bersabda: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya’ dan subuh, seandainya mereka mengetahui keutamaan yang ada dalam dua solat tersebut, niscaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Saf (barisan) pertama adalah seperti safnya para Malaikat, seandainya kalian mengetahui keutamaannya niscaya kalian akan bersegera menyongsongnya. Sungguh, solatnya seseorang bersama dua orang adalah lebih baik ketimbang dengan satu orang, dan solatnya seseorang dengan seorang adalah lebih baik dari ia solat sendirian, semakin banyak jumlahnya akan lebih dicintai oleh Allah Tabaraka Wa Ta’ala.” (HR Ahmad,)

Jadi, usah kerana sikap segelintir manusia, kita terjebak dalam turut memperlekehkan perintah Allah dan tuntutan Rasulullah. Usah kerana kita belum sempurna menutup aurat, kita katakan yang tutup itu belum tentu baik. Usah kerana kita tidak mampu pergi berjemaah dan mengikuti aktiviti masjid/surau, kita katakan yang terlibat itu pun perangai dan pertuturan tidak elok. Usah kerana kita tidak berserban dan berjanggut, kita katakan yang berserban dan berjanggut itu dusta semata. Usahlah sedemikian.  

Jika mampu, tegur secara berhikmah akan perilaku yang kurang wajar. Jika tidak mampu, marilah kita sama-sama doakan yang kita dan mereka diampunkan Allah, dan disedarkan agar lebih berhati-hati dan berwaspada tika berkata-kata.

Cuma usah sekali-kali perilaku yang kurang elok itu, dikaitkan dengan sebarang perintah Allah dan Rasul.

Kerana tiada siapa tahu apakah nasib kita di ‘sana’ nanti.

Tetapi kita sentiasa berusaha, kerana Rasulullah telah mengajar kita, usai kewafatannya, peganglah erat-erat dua perkara. Al-Quran dan  As-Sunnah.

Kerana kita sudah berada di ‘Zaman Fitnah’.


Jom tengok sentiasa untuk peringatan bersama...

2 comments:

@LeenShamsh said...

T____T

UmmiAbi said...

Allah...Adakah Islam kembali berdagang?Astagfirullah Al-Azim...