Bismillahirrahmanirrahim.
01 Ogos 2017 / 8 Zulkaedah 1438H
Wah tajuk. Nampak sangat
macam sebelum-sebelum ni tak memasak. Bukanlah demikian sangat pun, cumanya
bermula kehamilan Khadijah tempoh hari, kebanyakan kerja-kerja memasak memang
ayah yang uruskan. Dan tika Khadijah di fasa bayi ini, banyak juga masa ummi
menyusukan beliau. Jadinya kalau nak ‘multi-tasking’ ummi risaukan banyak benda
hangus.
Tetapi..tetapi
tetapi. Pabila keadaan tu sampai waktu terdesak tersedak di mana kita tiada
pilihan, dan kita juga bukanlah orang kaya bergaji 10k sebulan, boleh sentiasa ‘order’
sahaja makanan, maka, seruan dapur itu menarik-paksa juga ummi ini, dan silalah
bertahan. Fizikal dan iman. (sebab kadangkala tewas dengan keletihan.)
Balik petang, campur
tolak urusan amir dan sekolah, memang sampai ke waktu maghrib. Lepas maghrib,
berusaha juga paling kurang memasak nasi dahulu. Periuk pula, alahai manual
kerana yang elektrik diletakkan di sekolah. (ok nanti ummi kena tukar balik). Jadi
kena jagalah kalau manual, silap gaya hangus. Sambil menjaga nasi, kalau sempat
potong la bawang. Kadang tu, kena menyusukan Khadijah dulu, selalunya dalam
pukul 8 beliau tak berapa mahu tidur lagi. Letak kat ayah sat. Ummi senang je,
dahlah resipi sendiri taktau apa nama, main bubuh je. Bawang besar, halia,
kunyit, tomato, ikan bilis, serbuk habbatussauda’, lada kering yang dikurangkan
bijinya, semua kasi blender hancur tumis dalam kuali ke periuk. Kupas lobak
merah atau kentang, tengok apa yang ada. Macam semalam, dah kupas carrot yang
sedap itu, sementara tunggu tumis tu lama sikit, ¾ sudah habis ke perut anak-anak yang sudah kelaparan. Kesian abang-abang
yer..takpe, ummi masuk je baki apa yang ada. Semalam tu, tiba-tiba rasa nak
buat nasi goreng je senang, masuk nasi, telur. Garam ditabur setelah api
ditutup. Siap. “Sedap ummi”. Kata anak-anak. Alhamdulillah.
Pagi-pagi pula,
begitu juga ceritanya. Lauk berkuah tanpa nama bahan sama. Goreng telur yang
dimasukkan hirisan bawang putih. ‘Multi-tasking’ ummi rasanya telah naik level.
Dalam satu masa cukup banyak benda buat. Kadangkala sambil menggendong Khadijah.
Dah katanya anak ‘attach’ kan, begitulah. Dapat tengok muka dia dikala kita
kekalutan. Sambil basuh baju (oh ya baju masih di dalam mesin belum dikeluarkan
pun), sambil basuh botol, memasak, basuh pinggan mangkuk, kemas baju anak-anak.
Masih menghitung
nikmat-nikmat Allah yang tak terhitung. Ada iman insyaAllah walaupun rasanya
senipis selaput telur. Ada suami dan anak-anak. Ada makanan untuk dimakan. Ada kenderaan.
Apalah sangat bila kita melihat sahabat-sahabat yang diuji lebih tinggi. Ada yang
senang, tapi belum lagi datang rezeki anak. Ada yang ramai anak, tapi diuji
dengan kesempitan wang atau hutang. Ada yang gah, diuji dengan lupa diri. Ada yang
susah, diuji dengan terlupa melihat nikmat untuk disyukuri. Nikmat yang kabur. Kadangkala
kita kena usahakan kaca mata, atau sapu madu ke mata, untuk jelaskan
penglihatan memandang dan menghitung segala nikmat Allah beri. Kerana apa?
“Dan Dia telah
memberimu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika
kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya
manusia itu sangat zalim dan banyak mengingkari (nikmat Allah).” (QS. Ibrahim:
34).
Allahuakbar. Tak dapat
terhitung nikmat Allah sebenarnya. Tapi dek kerabunan mata batin kita, kita
susah nak melihat kebanyakan yang ada sekeliling kita, tapi lebih fokuskan
kepada apa yang hilang atau apa yang menyusahkan hati kita.
Bersyukurlah dengan
apa yang ada dan terjadi di sekeliling kita. Semuanya Allah turunkan sebagai
ujian untuk kehidupan sementara ini. Dan kadangkala cuba kita letak diri kita
di tempat orang lain, berfikir apa tindakan kita jika kita ini dia. Jangan
cepat menghukum, jangan cepat melatah. Setiap yang terjadi, pasti ada
hikmahnya.
“Boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan
kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)
Kita insan biasa,
yang bertindak atas ruang lingkup pemikiran yang amat terhad. Disulami dengan
keimanan yang kadangkala banyak dicemari dosa. Maka, ummi seru diri ummi
terutamanya, banyakkan beristighfar, dan banyakkan mencari ilmu. Itu yang
utama. Lagipun, kan kehidupan ini sementara? Mengapa kita gusarkan segala benda
seolah-olah hidup selamanya. Marilah kita lebih gusarkan tentang apa yang bakal
dijawab di akhirat sana. Sama-sama.
P/S : Ok. Gabungan 'mantap' dua tajuk dan dua topik yang entah mana hubungkaitnya. Ampun ya. Ummi kalau masuk periksa sekolah rendah ni pun rasanya bolehlah E atau D dek kerana KBAT yang kelaut. hehe.
2 comments:
MAsya Allah..samalah ..dulu masa anak sorg..level multi tasking takdelah setinggi level multi tasking anak dua..rupa-rupanya Allah dah bagi ikut kemampuan kita kan..
Part masak-masak dan kemas rumah tu betul..balik kerja berkejar , masak je apa yang ada..settlekan kain, kemas, lipat kain , sediakan utk anak sekolah esok..bila dah masak dah makan, serta merta rasa bersyukur.alhamdulilah ada rezeki memasak dan makan hari ni hehe..
i feel u T.T
Ya benar ti...Allah takkan bagi dugaan yang tak tertanggung oleh kita..insyaAllah cumanya kena sentiasaaaa sangat tazkirah hati ini...
Post a Comment