Bismilahirrahmanirrahim
15 JamadilAkhir 1435
Selasa
Tajuk entry macam kisah buku-buku
tauladan pula. Tapi boleh dikategorikan sebagai cerita tauladan, buat pembakar
semangat kita. Sumber cerita daripada ayah yang mendengar semasa kuliyyah
maghrib di masjid.
Alkisahnya begini...
Seekor anak singa
yang masih lemah terdampar di tepi sungai. Menunggu belas simpati sesiapa yang
sudi merawat dan memberi makan. Letih. Lapar. Sejuk. Dia sendiri tidak pasti
bagaimana nasibnya berakhir di situ.
Menjelang tengahari,
lalulah sekawan kambing. Seekor mak kambing ternampak si anak singa tersebut,
perasaan simpati menjengah serta merta. Walaupun dia tahu itu singa. Di ambil
anak singa tersebut, diberi makan dan dipelihara seperti dan bersama-sama
dengan anak-anaknya sendiri.
Masa berlalu, hari
berganti hari, si anak singa telah pun membesar seperti layaknya singa-singa
yang biasa. Cuma di dalam fikirannya, dia adalah seekor kambing. Dia tidak tahu
menahu tentang perwatakan seekor singa.
![]() |
| Singa dan kambing. (Ehsan : Google) |
Sehinggalah pada
suatu hari yang cantik, singa tadi melihat cara-cara kambing bergaduh. Kambing
pabila berkelahi, mereka menggunakan tanduk sebagai senjata utama. Tertarik
dengan mekanisme pertahanan diri si kambing, singa tadi berjumpa 'mak'
kambingnya, meminta sepasang tanduk untuk habuan mempertahankan diri. Ternyata
itu adalah diluar bidang kuasa si mak tadi.
Maka dengan rasa
agak terkilan, si singa merayau-rayau mencari kepastian untuk persoalan
sepasang tanduk. Sehingga dia berjumpa dengan seekor singa sebenar. Agak
terkejut dan terkesima, selama ini si singa hanya melihat dirinya melalui mata
kambing, berjanggut, dan sebagainya. Singa tersebut menegur si singa, tentang
apakah permasalahan yang menimpanya sehingga kelihatan bingung sedemikian.
Si singa
menceritakan hasratnya untuk memiliki sepasang tanduk. Singa sebenar
terkejut!
"Mengapakah
kamu, wahai saudaraku, ingin memiliki tanduk seperti si kambing? Sedangkan kaum
kita, telah dikurniakan dengan senjata yang jauh lebih ampuh daripada
itu?"
"Apakah
senjatanya?" Si singa terpinga-pinga.
"Kita memiliki
kuku dan taring yang cukup tajam, bisa menumbangkan musuh yang jauh lebih
besar. Kehadiran kita sahaja mampu menggetarkan hati-hati haiwan lain. Bukan
sekadar itu, kita juga mempunyai kelebihan 'ngauman singa' yang tidak terdapat
pada haiwan-haiwan lain.
Kita, wahai saudaraku, adalah Raja Rimba!"
Sekian cerita nukilan tambahan ummi dari
cerita sebenar si ayah. Saja tambah untuk nampak dramatis.
Tapi dapatkah kita lihat apa disebalik
cerita ringkas ini?
Si singa itu adalah kita. Umat islam
zaman sekarang. Oleh kerana apa yang sistem zionis dan kafir didik dan pupuk ke
dalam diri kita saban hari, melalui makanan, pendidikan, melalui TV dan
hiburan, teknologi dan sebagainya, maka membesarlah kita seperti seekor kambing
tambatan. Tidak mengenal kemampuan diri. Tidak mengetahui kehebatan diri. Hanya
mengikut arus perdana, mengiyakan apa yang dikata. Sehingga melihat orang
menggunakan 'tanduk' kita juga rasa kita perlu 'tanduk'.
Padahal dalam jiwa kita, fitrah kita
adalah umpama jiwa singa yang hebat. Lihat saja pejuang-pejuang Islam zaman
silam. Siang umpama singa yang tidak sedikit pun gentar kematian, malam umpama
abid, meratap merayu belas Tuhannya. Apa yang beza, islam kita dan mereka?
Tetap menyembah mengesakan tuhan yang sama, Allah Rabbul Izzati. Tetap
berselawat kepada rasul yang sama, Rasulullah S.A.W. Mengapakah begitu jauh
beza perwatakan pejuang-pejuang Islam lalu, dengan perwatakan kita, orang-orang
Islam zaman sekarang? Umpama diikat tangan ditutup mata telinga dan mulut, kita
melalui kehidupan seharian. Seumpama si singa yang melalui kehidupan biasa si
kambing.
Ayuh, bangunkan jiwa 'singa' dalam diri.
Keluarkan kuku dan taring kita. Perkasakanlah diri, hingga hanya dengan
kehadiran kita, pihak musuh berasa gentar. Dan mengaumlah, sahut bersahutan di
seluruh dunia. Kerana janji Allah pasti, Islam akan kembali ke persada agung
dunia, memerintah sekalian umat manusia dengan hukum Allah yang indah. Dengan
keadilan yang tiada tara.
Ayuh bangunlah! Usah menjadi 'kambing'
sedangkan fitrah kita adalah 'singa'!~
| Gambar ehsan Encik Google |
Nota :
1. Allah jadikan setiap haiwan-haiwan
tidak lain untuk pengajaran dan tauladan jua buat manusia yang mahu berfikir.
Bila kita muhasabah keadaan manusia-manusia zaman sekarang, mungkin kita perlu
fikirkan kembali istilah 'sifat kebinatangan' dan 'perikemanusiaan'.
'Seteruk-teruk binatang', dia membunuh untuk makan, meneruskan kelangsungan
hidup. 'Sebaik-baik' manusia, sanggup dia mendera, merogol dan membunuh anak
kecil, kerana? Entah, suka-suka?
2. Ditakdirkan ummi ayah pernah merasa
berada dekat dengan singa (dalam kandang). Ternyata, rengusan dia sahaja mampu
menggetarkan hati. Apatah lagi ngaumannya. Sebab itu ada istilah 'lion roar'.
Memang istimewa.
Sekian.

No comments:
Post a Comment