03 JamadilAkhir 1435
Khamis
Khamis yang mulia. Selamat berpuasa kepada yang berpuasa. Semoga Rahmat Allah ke atasmu.
Pantang. Bukan pantang lepas bersalin yer. Aliff baru nak masuk 10 bulan.
Pantang ini diinspirasi oleh sahabat dunia akhirat ummi. Pada mulanya ummi menghadam pesanan dan seruannya, masih ada rasa bertangguh di situ. Tetapi pabila membaca komen seorang lagi sahabat, yani, hati ini rasa dijentik. Inilah kuasa Allah atas makhlukNya.
Pantang apa? Pantang azan, terus solat. Ringkas sahaja pantangnya kan? Jaga Hak Allah, Allah jaga hak kita insyaAllah.
Satu perkara yang nampak ringkas. Tapi jujurnya tidak pernah ummi istiqamah sebelum ini. Pelbagai alasan dicipta pelbagai sebab direka. Padahal itu tiang agama. Selagi ada waktu kata hati ummi. Padahal sedar yang janji mati itu pasti. Tiada lebih sesaat diberi. Astaghfirullahalazim.
Setiap orang pasti ada kelemahan kekurangan. Begitu juga ummi hanya insan biasa dengan dosa menggunung tinggi. Rasa syukur sangat bila mendapat 'jentikan' dari Ilahi.
Bermula dari Zohor hari yang sama ummi mulakan perubahan. Tak mahu ketinggalan dalam perlumbaan meraih redhaNya. Tambahan pula ummi ni sudah menjadi ummi kepada dua bakal pejuang agama. Agak keterlaluan jika harapan kepada anak-anak menggunung tinggi sedangkan ummi masih di sini, menghitung hari.
Hendak dibandingkan dengan cabaran sahabat-sahabat lain, cabaran ummi terasa 'tiada'. Maka alasan apakah lagi yang ummi hendak beri kepada Pencipta? Untuk mulakan zohor pada waktunya ummi cuma perlu tidak keluar pada waktu rehat tengahari. Tiada lagi jalan-jalan di Jusco atau Giant membeli barang keperluan (atau kehendak) seperti sebelum-sebelum ini. Ummi tinggal juga di pejabat, walaupun kadangkala dengan kadar 'tekanan' agak tinggi khususnya pabila encik bos berada di tempatnya. Ummi ketepikan alasan-alasan kecil itu.
Waktu maghrib, ummi tetap gagahkan diri mendengar 'azan' shaikh kabir al-aliff. Selalu bila ambil shaikh aliff, ummi akan main dulu sehingga sampai waktu maghrib, dan menyusukan aliff lepas solat maghrib. Kadangkala lepas solat isya'. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Sejujurnya, ummi masih belum layak menulis tentang perkara ini. Tetapi lebih kepada peringatan buat diri. Sepanjang tempoh pantang ini juga, baru masuk minggu kedua, ada sekali subuh yang memang ummi tidak tersedar sekelumitpun, terbabas ke 6.45. Semoga Allah mengampunkan ummi.
Tetapi ummi tetap juga rasa kesan pantang ini. Sebelum ini, ikhlas ummi mengaku memang solat adalah antara perkara 'berat' untuk ummi. Sesuai dengan ayat ini -
“Sesungguhnya sembahyang (Sholat) itu memang berat kecuali
bagi mereka yang khusyu’ yaitu mereka yang yakin akan berjumpa dengan Tuhan
mereka, dan sesungguhnya mereka akan kembali kepadaNya”. (QS. Al-Baqarah 2 :
45)
Sungguh. Hanya pabila kita betul-betul yakin yang kita akan berjumpa dengan Allah, tanpa dilewatkan sesaat pun, hati ini akan resah bila waktu solat menjelma. Bagaimana jika bertemu ajal dikala solat masih lagi belum ditunaikan?
Bila ummi memulakan pantang ini, MasyaAllah, sedikit demi sedikit perasaan 'berat' itu mula lenyap. Ya, ummi mengaku masih belum mencapai status khusyu' yang didambakan setiap insan, tetapi ibadah solat mulai menjadi ringan. Seterusnya ummi mula merasa rindu, mula menghitung waktu pula untuk bertemu denganNya untuk mengadu hal denganNya. Tengok jam, pukul berapa masuk waktu. Alhamdulillah ya, perasaan 'berat' itu perlahan-lahan berlalu pergi.
Serentak dengan ini juga, ummi perasan yang ummi agak mudah menunaikan pula solat Dhuha, solat yang tidak pernah ditinggalkan kekasih kita Rasulullah S.A.W tanpa keuzuran. Mudah pula mendirikan solat sunat sebelum Subuh (solat fajar), yang mana lebih baik dari dunia dan seluruh isinya (HR Muslim). AllahuAkbar.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (31 kali ulangan dalam surah Ar-Rahman).
Oh, sungguh sikit waktu, sungguh banyak amanah. Semoga Allah selamatkan kita dari azab dunia, azab kubur, azab akhirat dan azab neraka.
Semoga Allah sudi merahmati kita, kerana hanya sesungguhnya dengan rahmatNya sahajalah kita mampu bertemuNya, bertemu RasulNya. Segala amalan amal soleh kita hanya untuk meraih Rahmat dan belas kasihan Allah, yang maha Penyayang. Kasihanilah kami yang hidup dalam zaman yang sangat mencabar ini ya Rabbul Izzati. Campakkanlah istiqamah dalam diri kami, campakkanlah hikmah kebijaksanaan dan kekuatan fikiran, kesihatan dan keberanian kepada anak-anak kami yang bakal memperjuangkan agamaMu kelak.
Ameen.
No comments:
Post a Comment