Together Till Jannah. Kerana kehidupan ini sementara…..

Friday, 30 December 2016

Pengalaman Anak Berkhatan

Bismillahirrahmanirrahim
30 Disember 2016
30 RabiulAwwal 1438

Alhamdulillah selesai hampir semua tuntutan Islam untuk Shaikh Amir Hamzah. Ummi catatkan untuk panduan masa depan dan kenangan bersama. 

UNTUK KESIMPULAN DAN PANDUAN BERSAMA TENTANG BERKHATAN.

Ini adalah kesimpulan ummi menelaah di ‘google’(kebanyakannya blog pengalaman, dan tips doctor) campur pengalaman sendiri.

1. Masa yang sesuai berkhatan
-         Semestinya ikut Sunnah Rasulullah S.A.W kesayangan kita, iaitu pada hari ke-7 anak dilahirkan. Pada usia bayi, deria sakit masih belum berkembang sepenuhnya, dan daya pemulihan sel-sel badan adalah tinggi. (dan anak belum pandai bercakap, “sakit ummi, aduh..” skrip yang meruntun jiwa..hehe). Penjagaan juga lebih mudah kerana bayi menyusu badan sepenuhnya, kita cuma perlu kerap menukar lampin dan memastikan bahagian itu kering.
-         Setelah anak itu faham (5 tahun ke atas). Ummi ‘prefer’ sebelum masuk umur persekolahan iaitu 7 tahun, kerana pada usia tersebut, kita perlu beratkan urusan solat kepada anak itu. Dan lebih selesa bersolat selepas berkhatan. (Amir gembira dapat solat sama saf dengan ayahnya di masjid). 

2. Perkara yang perlu disediakan
-         Kain pelekat kanak-kanak (bawa ke tempat berkhatan).
-         Pengering rambut (jika dirasakan perlu).
-         Penutup (untuk menghalang kain terkena tempat bersunat). Boleh buat kotak, atau tudung saji yang dibalut bahagian bawahnya. Pengudaraan yang baik insyaAllah mempercepatkan proses penyembuhan.

3. Kaedah berkhatan
-         Ada pelbagai teknik, seperti laser, klamp, dan sebagainya. Tetapi yang menarik perhatian ummi cuma laser dan klamp.
-         Setelah baca beberapa pendapat doctor, teknik klamp ini dikatakan memang mudah, tetapi dua kali sakit, sewaktu pasang dan sewaktu buka. Mungkin ini kaedah terbaik untuk bayi pada pendapat ummi.
-         Ummi pilih electrocautery (Wiki = Electrocauterization is the process of destroying tissue (or cutting through soft tissue) using heat conduction from a metal probe heated by electric current. The procedure stops bleeding from small vessels (larger vessels being ligated)), teknik yang guna pemanasan mematikan hujung pembuluh darah yang banyak di bahagian sunat, sekaligus mengurangkan pendarahan. Seterusnya terdapat sedikit jahitan seperti biasa.

4. Makanan
-         Seperti makanan ibu berpantang, ummi hentikan dulu pengambilan ayam (walaupun bebas suntikan), telur. Banyakkan ikan, buah-buahan vitamin C seperti kiwi dan oren.
-         Sistem pertahanan amir ummi bantu dengan pengambilan minyak HBS, VCO dan madu.

5. Cara Penjagaan
-         Untuk minggu pertama, disyorkan bahagian berkhatan itu sentiasa kering. Boleh gunakan pengering rambut untuk tujuan ini. Kerana ‘direct contact’ adalah sangat menyakitkan. (Ummi ada sedikit khilaf dengan sentiasa melumurkan VCO, dan luka itu agak lambat menjadi kuping, dan agak lambat sembuh).
-         Kerap rendam bahagian tersebut dengan antiseptic (ummi pilih Epsom salt dan ACV – apple cider vinegar) untuk rendaman amir. Seeloknya setiap kali mandi, dan atau setiap kali buang air kecil.
-         Pabila luka telah nampak kering, baru tiba masanya meletakkan minyak VCO (virgin coconut oil) atau minyak Habbatussauda’ untuk membantu proses pemulihan.

6. Bila perlu mendapatkan rawatan
-         Demam. Ini selalunya adalah tanda jangkitan, disyorkan rujuk pada doctor untuk tindakan selanjutnya.
-         Terdapat bengkak pada bahagian berkhatan, dan pabila di sentuh, sakitnya adalah keterlaluan.
-         Pendarahan yang berlebihan.

- AWAS, tulisan berikutnya adalah panjang dan coretan pengalaman ummi sendiri untuk panduan di kemudian hari

Alhamdulillah Shaikh Amir anak soleh ummi selamat dikhatankan pada 10 RabiulAwwal 1438 bersamaan 10 Disember 2016. Satu lagi pengalaman berharga buat ummi ayah yang Allah beri melalui Amir Hamzah.

Seperti di coretan ummi sebelum ini, Amir ada satu bayangan yang sangat positif tentang berkhatan, kerana beberapa perkara :-

1. Tidak sabar mahu menjadi Imam Masjid (ameen).
2. Pernah melihat kartun Upin Ipin episode berkhatan. “Tak sakit pun, sikit je…”.

Maka ummi dan ayah biarkan amir kekal positif, semoga semuanya baik-baik aja. Perancangan untuk khatankan amir ni boleh dikatakan ‘ad-hoc’ juga, suratannya Selangor ada cuti lebih pada 12 dan 13 Disember, makanya ummi perlu tambah cuti sendiri lagi 3 hari sahaja untuk dapat waktu seminggu menjaga amir kelak. Setelah itu ummi bukalah kitab google ummi untuk membaca pengalaman ibubapa lain, dan mencari tempat yang sesuai. Setelah itu, baru diberitahu kepada keluarga-keluarga belah ummi dan ayah. Tiada kenduri, tiada sambutan, hanya ada doa-doa kepada Allah semoga semuanya dipermudahkan.

Alhamdulillah takdirnya ketika itu Atuk dan Nenek ada turun KL, atas pelbagai urusan (konvo, anak nenek bersalin), maka dapat sebentar kita menumpang kasih mengajak atuk dan nenek, mokde, meneman kita ke megaklinik tersebut. Pada mulanya ummi cuba menempah untuk berkhatan di Hospital Az-Zahrah, tetapi dimaklumkan slot untuk Disember telah penuh. Jadi kita beralih ke Megaklinik Zahran yang merupakan anak buah hospital, terletak di belakang kawasan Hospital Az-Zahrah tersebut. Dan pada mulanya atuk hendak balik terus ke kampung usai proses berkhatan amir (tidak singgah semula ke rumah kita), tetapi atas desakan pujukan, atuk setuju untuk pergi satu kereta dan selepas amir selamat sampai rumah, baru atuk berangkat pulang.

Temujanji pukul 2pm. Hujan agak lebat mengiringi perjalanan dan kami sampai dalam 2.30pm. Agak ramai peserta ketika itu, dan masa menunggu memang lama. Lebih kurang dekat pukul 4pm baru nama Amir dipanggil. Alhamdulillah ada kedai makan dibelakang klinik tersebut kerana memang dah tahu fitrah Atuk yang tak suka menunggu lama di tempat sebegitu (tertutup dan berpenghawa dingin).

Peserta-peserta lain kebanyakan besar-besar dari amir. Klinik itu tidak mengambil kes 4 tahun ke bawah, takut trauma. Kasihan amir, ummi tidak sempat hendak membeli kain pelekat khas untuk amir, jadi terpaksa pakai kain batik ummi (kain pelekat ayah besar sangat). Ada banyak peserta yang ummi nampak ‘steady’ bila keluar, ada juga yang menangis. Amir mula cuak, namun dipujuk ayah dan ummi.

Akhirnya nama amir dipanggil. Untuk keseluruhan proses berkhatan, Alhamdulillah Allah bagi rezeki ada ayah dengan kita. Ayah yang meneman amir sepanjang proses bius dan berkhatan. Moga Allah balas kecekalan ayah dengan kebaikan dunia dan akhirat. Kerana ummi kat luar dengar amir meraung kena bius pun dah meleleh air mata. Ya, semasa kena bius, amir menjerit sekuat hati. Terkejut campur sakit. Kata ayah jarumnya besar, dan sakit masa ubat bius masuk. Setelah itu amir keluar untuk ke bilik satu lagi untuk berkhatan, masa itu amir dah tak menangis, tetapi muka serius. (Mungkin realiti sebenar berkhatan sudah difahaminya).

Sepanjang proses berkhatan, ayah sudah sediakan skrip panjang bersembang dengan amir, agar dia tidak melihat proses tersebut. Kakitangan klinik itu pun ‘kagum’ melihat ayah cakap tanpa henti. Haha. Proses khatan amir agak sukar kerana bahagian itu dikatakan ‘buta’. Ummi dan ayah pun tidak berapa pasti akan situasi ini. Jadi melecet amir agak teruk berbanding yang tidak ‘buta’.

Keluar dari bilik itu, dapat juga rakamkan kenangan bergambar sebelum ubat bius hilang. Amir agak merengek dan di atas kereta amir mula menangis kesakitan. Ummi terpaksa juga bagi paracetamol yang dibekalkan, kerana ayah kata setelah hilang bius, memang amat sakit. Sepanjang perjalanan pulang (alhamdulillah sangat atuk yang bawa) ayah memegang amir yang tidak mahu duduk. Amir hanya berani berdiri dan cangkung dek kesakitan itu, sambil berpaut pada ayah. Sampainya dirumah, setelah amir baring dan berehat, atuk dan nenek berangkat pulang. Terima kasih sudi teman kami, kerana jika hanya ummi dan ayah, pasti kekalutan itu akan berganda.

11 Disember hingga 18 Disember 2016.

Fasa menjaga amir di rumah. Bab makanan alhamdulillah amir dan aliff agak terkawal pemakanannya, jadi seolah-olah tiada beza makan sebelum dan selepas. Cuma ummi stop dulu ayam, cuma bagi ikan dan sayur. Dan buah-buahan kegemaran amir seperti kiwi, tomato, pisang. Sekembalinya amir di rumah hingga malam hari yang sama, amir ada buang air kecil dua kali tanpa sebarang masalah. Dan cuci seperti biasa. Cuma bahagian sunat itu tidak boleh disentuh langsung dalam tempoh seminggu itu (dan ummi pun tak berani). Setiap kali lepas mandi/buang air kecil, ummi cuma lumurkan VCO di situ. Sedikit kekhilafan ummi, ummi rasa lebih baik keringkan bahagian itu supaya cepat menjadi kuping (cara sekarang, bahagian sunat itu tidak dibalut selepas bersunat). Bila dah nampak kuping baru kita bantu dengan minyak. Dan kerapkan rendaman antiseptic seawal boleh.

Sehinggalah pada 18 Disember itu, Tadika kita ada buat hari terbuka (yang takdirnya hanya ada kami sahaja, pembantu datang untuk masak seadanya, dan Alhamdulillah Allah lapangkan masa ibu yati untuk bantu ummi ayah untuk urusan baju sekolah). Jadi ummi perlu ikhtiarkan sehari sebelum itu (untuk kami keluar membeli barang keperluan hari terbuka) supaya boleh bawa amir keluar. Kerana sehingga hari ini, luka amir nampaknya masih belum kering sepenuhnya, dan tidak boleh lagi pakai seluar. Jadi ummi potong cawan kertas, letak dalam seluar dalam, dan pakai seluar seperti biasa. Selepas inovasi ini dibuat, amir terus bermain, berjalan berlari seolah-olah tiada apa berlaku. Ummi pula yang cemas melihatnya.

Pada minggu berikutnya (19 Disember 2016), kelihatan bahagian berkhatan itu sedikit membengkak (mungkin juga sebab bermain seperti ‘biasa’ di Tadika). Tetapi menurut doctor pakngah Eri, asalkan amir tidak sakit yang keterlaluan bila kita tekan bahagian bengkak itu, dan yang utamanya, tidak demam, InsyaAllah semuanya ok. Minggu ini ummi sudah mula bekerja. Jadi ayah ambil inisiatif merendam amir dengan Epsom salt campur cuka. Selepas dua tiga hari berendam, alhamdulillah perkembangan kesihatan amir makin baik. Hingga ke hari ini, kelihatannya luka amir telah berkuping dan ada yang tertanggal. Tanggal 21 Disember 2016, amir mula memakai seluar seperti biasa. Alhamdulillah dan tahniah amir.

Dan untuk catatan kita juga, serentak dengan peristiwa berkhatan amir ini, Amir telah pun menghafaz Surah Al-Mulk (dengan bimbingan ayah). Alhamdulillah wa Tabarakallah. Ayah membeli robot transformers untuk Amir dan Aliff (ummi ayah mampu yang murah di Giant sahaja buat masa ini, insyaAllah ada rezeki nanti kita upgrade), sebagai memenuhi janji untuk hafazan surah al-Mulk dan ganjaran tabah mengharungi proses berkhatan ini. Pengalaman ini adalah sangat berharga buat ummi ayah.


Dan nampaknya, Aliff Hakim pun sudah tidak sabar juga untuk berkhatan seperti abang kesayangannya, walaupun beliau menyaksikan sendiri bahawa berkhatan itu tidak seindah yang diceritakan. Ummi pun agak musykil, nak dikatakan dapat mainan, aliff dapat mainan sama macam abangnya (untuk mengelakkan situasi ‘perkongsian’ mainan), tapi boleh kata hampir tiap hari aliff kata nak sunat. Sabar ya aliff, kita tunggu aliff bebas ‘pampers’ dulu, dan adik baby (insyaAllah) besar sikit ya!

Wallahualam. Moga kebaikan dan kejayaan dunia dan akhirat untuk semua anak-anak ummi yang ummi sayang sangat-sangat kerana Allah. Ameen.

No comments: