Isnin, 12 Disember 2016 / 12 RabiulAwwal 1438
Bismillahirrahmanirrahim.
Ummi ingin juga nukilkan kisah ini supaya
ianya tidak hilang dari memori kita, dengan izin Allah. Sudah lama ummi coret
cerita ini, tapi ummi pilih tarikh ini untuk ‘upload’. Tarikh ini istimewa bagi
kebanyakan kami kerana yang pertamanya ia adalah tarikh lahir ummi, 32 tahun
lalu. Yang kedua, tahun ini ditakdirkan sama dengan maulidurrasul. Yang ketiga,
ditakdirkan, ini juga tarikh ulangtahun perkahwinan Tokmak dan Atuk, tarikh
yang tokmak dan atuk sambut tiap-tiap tahun satu masa dulu, suratan yang
istimewa. Jadi tokmak dan atuk memang sangat ingat akan tarikh lahir ummi.
Eiduladha
1436H / 24 Sept 2015
Raya Haji kali ini ummi ayah turun ke
tangkak bagi membantu tokma dan tokbah yang terlibat dalam urusan walimah
sepupu ummi. Kami bergerak sekali dengan paksu. Disebabkan kita semua akan
tinggal di rumah lama Atuk & Tokmak, jadi singgah juga sebentar di
Jementah untuk ambil kunci.
Kita tiba lebih kurang jam 3 pagi, tokmak
sambut dan minta kami makan dahulu lauk2 raya yang telah siap dimasak.
Bertambah-tambah kami makan seolah-olah makan tengahari jam 3 petang. Baik
ayah, paksu mahupun Shaikh Amir dan Aliff. Alhamdulillah gerak ke rumah tangkak
selepas itu.
Kita singgah lagi hari berikutnya di jementah
memandangkan urusan walimah yang sibuk adalah pada hari berikutnya.
“Mak dah ok dah awak boleh balik”. Ujar
mak setelah luangan masa yang sedikit itu dan dapat makan bersama-sama
sekeluarga.
Siapa yang tahu ini merupakan antara kenangan
singkat dengan tokmak yang sihat dan masakannya yang terakhir buat kita
sekeluarga.
Isnin,
05 Oktober 2015 / 21 Zulhijjah 1436H
Mendapat berita dari Pakngah Eri
mengatakan mak dimasukkan ke ICU Hospital Sultanah Aminah Johor, tempat Pakngah
Eri dan Makngah Mas bertugas. Pakngah yang memberi info dari semasa ke semasa
keadaan tokmak, dikatakan paru-paru berair, serangan jantung, darah tinggi,
bacaan kencing manis tinggi. Proses mengeluarkan air dari paru-paru, dan tokmak
bernafas sepenuhnya dengan mesin, tidak sedarkan diri. Dikatakan ketika ini
keadaan tokmak berselirat dengan pelbagai wayar dan tiub.
Pelbagai telahan dibuat dalam kepala
sendiri, bagaimana tokmak boleh dimasukkan ke hospital, sedangkan tujuan asal tokmak ke johor bahru adalah untuk berjalan, di samping melihat urusan perpindahan
rumah baru pakngah. Katanya tokmak ada ulang-alik Tangkak-JB, mengambil TokCha
yang dikatakan akan menolong menjaga anak-anak Pakngah sementara mencari bibik
baru. Tokmak mengadu sesak nafas (semput), Makngah ada bawa ke klinik (sebab
tokmak belum mahu ke hospital), klinik itu macam kata tokmak OK. Tapi selepas
itu, tokmak bertambah teruk sehingga dia sendiri minta untuk ke hospital.
Kita di sini dilemma apa yang patut buat, tambah ayah yang agak serabut untuk membuat keputusan. Ummi tolong sedikit minta jasa baik teachers jagakan sekolah, dan mengajak ayah pulang pada petang hari selasa, 06 Oktober 2015, setelah maman Emi tiba dari UTP Perak ke rumah kita untuk gerak sekali.
Rabu,
07 Oktober 2015 / 23 Zulhijjah 1436H hingga Jumaat, 09 Oktober 2015 / 25 Zulhijjah
1436H
Kita bergilir-gilir melawat tokmak di
hospital memandangkan waktu lawatan ICU yang singkat dan hanya 2 pelawat
dibenarkan masuk pada satu-satu masa. Ummi ada peluang dua kali melawat tokmak.
Kita menumpang di rumah pakngah, ummi tolong tengok-tengokkan sepupu2 amir dan
aliff. 6 orang kesemuanya cucu tokmak dimulai Amir Hamzah, Muhamamad Fatih
(pakngah), Aliff Hakim, Muhammad Anas (pakngah), Muhammad Luqman (pakngah) dan
puteri cilik si Ainul Mardhiah (mokde).
Keadaan tokmak nampak semakin baik
menjelang jumaat ini, tokmak sudah mula bercakap. Tetapi masih dalam keadaan
separa sedar, yakni tokmak tidak ingat sesiapa pun yang datang melawat
sehinggalah pada pagi sabtu berikutnya.
Alhamdulillah tokmak cam ummi, ada sekali
ummi masuk dengan sepupu rapat tokmak, tokmak pegang tangan ummi bertanya siapa
yang datang sekali ummi tu. Tok Mus perkenalkan
diri sendiri ketika itu. Tok Mus dan Nek Yut adalah pelawat setia tokmak,
setiap hari datang tanpa gagal. Mereka adalah orang susah yang tokmak tak
pernah pinggirkan ketika tokmak hidup. InsyaAllah ayah dan ummi akan cuba
pertahankan silaturrahim ini.
Sabtu,
10 Oktober 2015 / 26 Zulhijjah 1436H
Atuk balik bawa berita yang baik bagi kita.
TokMak sudah mula bercakap walaupun dalam kesukaran, dan banyaknya kita kena
meneka apa yang diperkatakan. Tokmak ingat dengan jelas suara maman amin
mengalunkan ayatul Quran disisinya. TokMak sudah mahu makan, habis sekeping
roti gandum. Mahu minum, teh tanpa gula kegemarannya. Minta buah, berus dan
ubat gigi.
Alhamdulillah, ummi dan ayah bersemangat
mahu berjumpa tokmak tengahari dan petang hari ini, memandangkan kami akan
bergerak pulang ke kl usai sesi lawatan petang di hospital.
Dan alhamdulillah ummi dan ayah diizinkan
Allah berjumpa dan berbual dengan tokmak pada tengahari ini. Perincian saat ini
ummi simpan di akhir tulisan.
Ahad,
11 Oktober 2015 / 27 Zulhijjah 1436H
Dilaporkan keadaan tokmak makin stabil,
dan akan dipindahkan ke wad jantung pada malam ini. Corong pernafasan juga
ditukar kepada yang lebih ringkas untuk membiasakan tokmak bernafas sendiri.
Sebelum ini ada sekali juga corong ditukar kepada tiub dihidung, namun ditukar
kembali kepada corong selepas melihat tokmak agak sukar bernafas dan nampak
penat. Pakngah juga ada usahakan usul perbincangan dengan doktor2 pakar untuk
membuat ‘bypass’ jantung tokmak, tapi perlu izin tokmak dan perlu keadaan
tokmak lebih stabil untuk pembedahan itu dijalankan. Tambahan pula, contrast
yang akan dimasukkan nanti untuk melihat kondisi jantung tokmak, adalah akan
sangat membebankan buah pinggang tokmak yang telah sedia lemah. Masuk kali ini,
dikatakan tokmak telah menerima 3x serangan jantung. Kondisi yang mengikut doctor
adalah sangat berisiko tinggi untuk kegagalan terus jantung.
Isnin,
12 Oktober 2015 / 28 Zulhijjah 1436H
Menjelang petang ini, kita mendapat whats
app dari maman awie meminta doa semua kerana tokmak tiba-tiba kembali menjadi
sukar bernafas.
Jam 7.45 pm ayah mendapat panggilan
daripada pakngah Eri. Panggilan yang tidak diingini oleh sesiapa pun dalam
dunia ini. Panggilan menyatakan yang tokmak telah dipanggil pulang ke pangkuan
Penciptanya. 7.55 pm waktu kematian tercatat di dalam sijil…
Kita bergerak pulang ke jementah lebih
kurang pukul 11 malam, setibanya maman emi ke rumah. Dalam pukul 2 pagi tiba di
Jementah, menguruskan apa yang patut menyambut ketibaan jenazah tokmak dari
Johor Bahru. Tokmak akan dikebumikan di tanah perkuburan disini, dekat dengan
Atuk, di rumah kebun Jementah. Ummi secara peribadinya terlibat dengan semua urusan
jenazah pada hari itu, buat pertama kali dalam hidup ini.
Pagi berikutnya, Ummi lihat bagaimana ‘team’
pengurusan jenazah wanita kampung membawa bahan-bahan, memotong kain buat ‘baju’
dan ‘tudung’, minyak wangi dan sebagainya.
Ketika Tokmak hendak dimandikan, makcik
yang ‘in-charge’ untuk memandikan, memanggil anak perempuan jika hendak
menolong urusan tersebut. Tokmak hanya ada seorang anak perempuan (mokde), dan
dua menantu (ummi dan makngah). Kami berbesar hati dan dengan rendah diri
menyahut pelawaan tersebut. Mengikat sabun buku ditangan dengan kain perca
putih, menyinsing lengan masuk ke tempat mandian. Dan untung mak ada 6 lagi
anak-anak soleh lelaki yang turut sama membantu ketika itu, menjiruskan air,
mengalih badan tokmak ke kiri dan kanan, mengangkat tokmak. Kami sabun seluruh
badan tokmak dengan lembut dan belajar juga cara mengeluarkan najis dari perut.
Mulanya ummi, tapi seperti tiada apa yang keluar, kemudian makngah pula mencuba
(makngah lagi pro sebab dia doctor), pun juga tiada apa yang keluar. Semuanya dibawah
kawalan dan arahan ‘person in-charge’ tadi, dan dibuat sepenuhnya oleh kami. InsyaAllah
perut mak telah bersih. Selesai urusan mandi, tokmak diangkat keluar oleh
anak-anak lelakinya ke tempat pembaringan. Kami membasuh tangan dan muka. Allah
saja tau perasaan ketika itu.
Urusan diteruskan dengan mengkafankan Tokmak,
dan ciuman-ciuman terakhir. Alhamdulillah solat jenazah diimamkan oleh ayah,
penuh tingkat atas rumah. Dan urusan pengkebumian juga banyak diuruskan oleh
anak-anak tokmak sendiri.
Sekian perjuangan mak di dunia. InsyaAllah
kami juga akan menyusul mak.
Kenangan indah terakhir ummi dan ayah dengan tokmak (Sabtu, 10 Oktober 2015)
*Saat ini adalah gabungan memori ayah dan
ummi, jika ayah boleh menambah dari memori ayah, pastinya lebih panjang.
Macam-macam yang mahu diperkatakan tokmak
pada tengahari sabtu itu. Tokmak minta suapkan air dan buah. Dah selesai tu,
tokmak mula bersembang. Tokmak pilih buah lai, ayah yang kupas dan suapkan
tokmak. Tokmak tanya ayah akan kesemua anak-anaknya, satu persatu. Masa tokmak
tanya pasal mokde, kami seakan tidak dapat menangkap kata-kata tokmak sehingga
tokmak tulis nama Laili di dada ayah. Tokmak mengadu kat ayah, tunjuk
bekas-bekas lebam ditangannya. Tokmak pegang tangan kami berdua, tokmak letak
di dada dia (masa tu seriau juga ummi sebab tangan tokmak memang penuh dengan
wayar-wayar, risau jika menyakiti tokmak). Tokmak kata tokmak redha dan bertuah
mempunyai anak-anak dan menantu yang baik-baik belaka. Tokmak kata tokmak dah
tak larat tanggung semua tu. Ayah cuba yakinkan tokmak, minta tokmak kuat untuk
harungi sikit lagi ujian di hospital itu sehingga keluar, dan ayah akan
usahakan cara untuk balik kampong jaga tokmak. Tokmak kalih ke ummi, tanya ummi
ok ke dengan cadangan tu?. Ummi kata ummi akan ikut kemana dan apa saja
keputusan ayah InsyaAllah, tokmak jangan risau. Tokmak macam termenung sekejap.
Tokmak sambung lagi, minta ayah tengok-tengokkan semua adik-adik ayah (ayah
yang sulung), terutamanya mokde yang mengharungi ujiannya tersendiri. Masa
setengah jam yang diperuntukkan untuk melawat ketika itu terasa terlalu
singkat. Tokmak pun nampak semakin letih dan mahu tidur setelah banyak
bersembang dan menyampaikan amanatnya. Ummi ayah gerak keluar selepas nampak tokmak
seperti hampir lena. Kami cium dan perlahan-lahan lepaskan genggaman tangan
tokmak.
Kami melangkah keluar dengan perasaan
bercampur baur. Gembira dapat bersembang dengan tokmak, sedih lihat penderitaan
tokmak, gusar fikir apa yang kami akan perbuat dengan urusan sekarang (sekolah
yang baru buka dan tengah bergolak itu terutamanya) bila serius memikirkan akan
duduk di kampong menjaga tokmak, harapan untuk melihat tokmak sembuh seperti
sediakala. Selepas bersalaman dengan keluarga, kami terus menuju balik ke
rumah.
Kisah pertemuan ini apabila diceritakan
kepada yang lain, seolah-olah kami sahaja yang diberi kesempatan sedemikian
rupa. Kerana pada waktu orang lain melawat, tokmak banyak tidur dan berehat,
tiada yang dapat bersembang sedemikian rupa. Siapa sangka itulah pandangan
terakhir melihat tokmak berbicara. Jadi ini sahaja antara kenangan terakhir
terindah buat kami, yang ummi coretkan untuk tatapan di kemudian hari.
Moga Tokmak tenang dan dipermudahkan
urusan di sana. Kerana terlalu banyak pengorbanan dan kasih sayang tokmak dah
curahkan pada kita semua, dan sanak saudara serta sahabat handai. Moga doa-doa
anak-anak soleh tokmak sentiasa membantu tokmak di alam barzakh.
"Semoga
kita berjumpa lagi, mak. Di alam yang kekal dan indah kelak. Ameen."
No comments:
Post a Comment