Together Till Jannah. Kerana kehidupan ini sementara…..

Sunday, 1 January 2012

SATU JANUARI 2012 – GENAP SETAHUN USIA AMIR!


Assalammualaikum

Sempena genap setahun kelahiran amir ke dunia ini, maka amir dengan bermurah hati akan memberi cuti kepada seluruh penduduk dunia sebagai hadiah hari istimewa ini. Sama-sama kita raikan ya!
Haha. Pandai je ummi ni kan. Rezeki amir lahir pada tarikh ini. Semua orang pun cuti.

Untuk entry istimewa di hari lahir amir ini, ummi akan ceritakan detik-detik kelahiran amir. Selamat membaca ya!

30 Disember 2011

Kalau ikutkan due date ultrasound, inilah tarikh lahir amir. Ummi ni, perasaan  tu Allah sahaja yang tahu bagaimana. Bercampur aduk segalanya. Takut, cemas, risau, gembira, tak sabar, dan lain-lain. Rasanya hanya ibu yang menanti sahaja yang tahu bagaimana.

Ummi tunggu sahaja tanda-tanda nak melahirkan itu. Puas tanya semua orang macam mana tanda-tanda nak bersalin. Rasanya macam dah hafal semua. Turun tanda, sama ada cecair atau darah, sakit yang konsisten bilangannya per jam/minit, perut mengeras dan sebagainya.
Takat hari ini tiada apa yang berlaku.

10 malam – ummi mula rasa macam sakit. Dah rasa sakit ni, tanya pulak sorang-sorang, betul ke? Sampai pukul 11 malam tu, ummi kira, sakitnya dalam sepuluh minit sekali.

31 Disember 2011

4 pagi – masa ini sakit ummi rasa dah kerap. Dari lima minit sekali kepada tiga minit sekali. Orang kata kalau 3 minit tu maknanya dah nak terbuka jalan. Maka ummi dan ayah bergegas ke hospital serdang.

Cerita pasal hospital ini, sebenarnya memang kami ni teragak-agak, nak pergi ke swasta (azzahra) atau hospital serdang. Macam-macam orang kami dah tanya. Biasalah, mesti ada pro and con dia.
Jadi ayah tanya amir. Amir nak keluar di hospital serdang ke, azzahrah. Kalau amir lahir tahun baru ke atas, dan amir keluar normal (siap syarat lagi tu) kita pergi azzahra. Selain dari itu, kita ke serdang.

Berbalik kepada cerita kita. Pada pukul 4 lebih itu kami ke hospital serdang. Beg baju ummi dan amir memang dah lama ummi sediakan dalam kereta, sejak amir berusia 7 bulan dalam kandungan lagi.

Sampai hospital, masuk, baring kat katil, nurse periksa bukaan, pasang heart monitor kat perut, tengok contraction, ambil sample kencing, doctor periksa bukaan, tengok ultrasound. Semua itu berlaku dalam tempoh hampir 3 jam! Lama tau. Ayah kat luar tu sampai dah marah nurse dah. (Mana tak marah, dia tengah risau pasal anak isteri kat dalam tak tahu apa cerita, yang nurse kat kaunter tu elok pulak cerita pasal boifren aku semalam buat ape ntah bla bla…).

6.15 pagi - ummi keluar, dia kata tak buka lagi jalan. Tunggu lagi dekat setengah jam untuk ambil balik buku merah. Padahal sakit ummi itu takdelah semakin baik atau berkurangan. Tetap jugak setiap 3 minit ummi contraction.

Pada buku itu tertulis, false contraction.

6.45 pagi – Ummi dan ayah solat subuh di putrajaya.
Seharian 31 disember ini, ummi menahan sakit contraction setiap 3 minit. Tapi nak buat macam mana kan, dah pergi hospital pun kena hantar balik.

Sakit adalah sangat sakit. Terutamanya pabila contraction itu berlaku waktu ummi tengah buang air kecil. Rasa macam semua hendak terkeluar.

Sempat juga bersms dengan ummu wafiy, mengadu sakit. Adakah ini kifarah Allah…Banyak dosa ummi yang Allah hendak cuci. Sebab sakit ummi adalah setiap 3 minit. Allah jualah yang Maha mengetahui..

Kak azu (maklong) dan paklong ada datang jenguk ummi petang itu. Paksa diri makan juga sup dan roti, untuk tenaga.

Tokma dan tok abah pun gerak dari kulim petang 31 disember itu.

9 malam - Akhirnya atas desakan semua,  ummi dan ayah pergi ke azzahra. Nampaknya memang amir nak lahir di sini ye nak? Nak rasa jugak tangan dr Fazlina yang telah memeriksa amir seawal amir 2 bulan itu, sambut ketibaan amir ke dunia ini.

Sampai-sampai di azzahra, terus ke tingkat 2 mengikut pesanan doctor. Sampai kaunter ummi di dudukkan atas kerusi roda. Hmm merasa jugak naik kerusi tu kan, bila sihat bukan main lagi nak buat main kerusi tu.

Terus masuk bilik yang cantik (ada bilik air, cabinet, sejadah) dan dipasang heart monitor dan graf itu. Graf tu memang boleh nampak waktu ummi contraction. Macam skala gempa bumi pula.

Datang nurse cek bukaan, dia seluk punya seluk, keluar balik tangan, dah ada darah.

“3cm dah buka ni” katanya.

Wah? Dah 3 cm?

Kemudian nurse bagi baju untuk disalin. Oh ya, sepanjang tempoh sakit, dan dari sebelumnya pun, ummi kerap sangat kencing. Bila contraction itu menyerang waktu kencing, alahai sakitnya macam double.

11 malam – ummi ditolak ke wad pakai kerusi roda. Sampai ke wad ummi dapat bilik tepi bilik air. Masa tu nurse ada bagi ubat bagi cuci perut (julap la kan) dan doctor ada datang cek.

Tanya  doctor kepada ummi dan ayah, “Nak epidural ke?”

“Rasa macam boleh lagi doctor tapi tengok macam mana satgi” kata ummi.
“Ini baru bukaan 3 cm, selalunya kemuncak sakit adalah pada 7cm. Doktor Cuma nasihatkan saja, sebab kalau lambat ambil epidural takut tak berkesan dah waktu nak bersalin tu..”

“Baik doctor”. Masih mahu berbincang dengan ayah akan perlukah epidural.

Ayah suruh ummi ambil je.. ”takpe kos sikit yang penting ayang tu..”kata dia.

Setelah perut ummi dah lega keluar semua, nurse suruh bersiap untuk ditolak ke dewan bersalin.

01 Januari 2011

12 pagi - Sampai je dewan bersalin tu, terus ummi tanya mana tandas. Muntah semua benda dalam perut termasuk sup yang ummi makan sikit petang tadi. Rupanya makanan tadi telah tidak hadam, sebab keluarnya masih rasa sup.

Muntah sebab sakit, atau sakit sampai muntah, tidaklah ummi pasti.

Berdebar-debar sangat rasanya, tapi macam mana sekalipun ummi tetap kena keluarkan amir kan?

Sakit pun dah makin memuncak pada masa tu, ummi pun kata kat ayah:-

“Ok, ayang nak la epidural”.

1-2 pagi – Doktor pakar epidural datang. Siapkan kelengkapan untuk epidural.
Kalau ikutkan perasaan waktu normal, takut oo tengok persiapan, fikirkan ada jarum dan tiub yang akan dimasukkan ke dalam tulang belakang kita, tapi, tentulah ummi dah tak sedar semua itu sebab sakit contraction itu lebih kuat mencengkam minda.

Prosedur epidural, ummi duduk sambil sedikit membongkok pegang ayah. Doktor cucuk jarum, dan masukkan tiub yang kemudiannya akan di salurkan ubat penahan sakit.

Oh ya, masa ini tokma dan tokabah, paksu, dan cik farah dah sampai bersama maklong dan paklong.

Belah ayah pula, kenduri menyambut menantu kedua akan diadakan pada 1 Januari, maka tokmak dan tokpak hanya mendoakan dan bertelefon bertanya khabar.

Ummi bertenang sedikit selepas ubat dimasukkan, ayah pergi solat isya dan hajat.

Masuklah tokma tolong tengokkan ummi. Masa ini ummi muntah kali kedua, tapi dalam mangkuk besi saja. Keluar sampai muntah hijau.

Selepas ayah selesai solat, segera tokma keluar. Walaupun kalau ikutkan sesiapa sahaja bebas keluar masuk tengok ummi, hanya perlu tukar pakai selipar dan pakai gaun. 

Ummi tahu, tokma tak sanggup tengok kesakitan yang ummi tanggung, sebab tokma tahu rasanya. Dan ummi tahu, kalau boleh sakit itu dikongsi, tokma akan mengambil separuh atau semua mungkin. Ummi tahu, kerana ummi dah menjadi seorang ibu.

Ayah, seorang lelaki, lebih kuat perasaannya. Ayah bersama dengan ummi sepanjang proses amir keluar.

2-3 pagi – Kesakitan ummi semakin memuncak. Ubat epidural yang dimasukkan kata doctor, telah sampai tahap maksimum. Tidak boleh masuk sebarang ubat lagi. Tapi luarbiasa sungguh sakitnya.

Tika ini, ummi tak mampu ingat apa lagi. Alhamdulillah, bilik bersalin ummi itu memang dipasang ayat Quran. Alhamdulillah ayah disebelah ingatkan ummi. Ummi hanya sebut dua perkara,

“Allah….”

“Ya Allah abg, sakitnya…”

Kesian ayah. Tak keruan dia masa itu.

Kemudian masuk doctor untuk periksa ummi. Masa ini air ketuban baru di pecahkan. Banyaknya air keluar, dan terasa hangat…

Kebetulan, pada awal pagi 01 Januari itu, pesakit luarbiasa banyak. Ummi adalah ibu yang ketujuh melahirkan bayi.

Kemudian ummi mula merasa sakit hendak meneran. Sama seperti kita hendak teran semasa hajat besar. Cuma yang ini disertai sakit yang luarbiasa.

Bila ummi dah begitu, usaha ayah cari doctor atau bidan.

Masuk seorang bidan memeriksa bukaan.

“Ini tak cukup lagi bukaan. Dan kepala anak ni senget sikit ni, kena betulkan. Bismillahirrahmanirrahim…”

Bukan nak menambah atau mereka cerita, tapi pada masa bidan membetulkan kepala amir, betul2 ummi rasa macam nak terputus nyawa sakitnya (bagaimanalah kelak pabila betul2 nyawa hendak ditarik, kan?).

Pada masa ini, entah mengapa, kesan epidural seperti tidak terasa. Mungkin ketetapan Allah  mahukan ummi merasai kesakitan bersalin, walaupun dimasukkan epidural oleh doctor pakar. Kun fayakun…

3pagi – doctor fazlina akhirnya muncul di bilik bersalin itu. Dengan lengan tersinsing, doctor mula melakukan prosedur yang sepatutnya.

Kaki ummi dipasang ke pemegang kaki dan ummi diberikan pemegang untuk ditarik ketika meneran (tidaklah ummi memegang ayah, kalau tidak mesti dah lebam-lebam ayah, kan?).

Arahan doctor kedengaran, untuk push sekuat mungkin setiap kali rasa meneran itu datang.

Dengan menyebut nama Allah, setiap kali rasa meneran itu menjelma, ummi teran sekuat mungkin.

Suara-suara nurse dan bidan riuh memberi sokongan moral untuk ummi meneran (maklumlah ummi kan orang terakhir untuk pagi itu, maka ramailah yang berkumpul di bilik itu).

Sekali..dua kali…tiga kali..empat kali..rasanya ummi meneran…

Prosedur episiotomy yang dilakukan doctor tidak terasa…

Kemudian ummi rasa doctor memberitahu ayah bahawa ummi perlu dibantu dengan vakum. Cara ummi dah betul, Cuma ummi teran tak cukup kuat (mungkin hilang tenaga sebab lamanya menanggung sakit contraction, atau disebabkan muntah tadi). Kepala amir kelihatan keluar dan masuk.

Semasa teran yang kesekian kalinya, doctor bantu dengan vakum, dan…

Gussshhhh….terasa amir keluar…tepat jam 3.50 pagi..

“assalammualaikum…”

MasyaAllah..inilah nikmatNya yang tidak terhingga…





Amir diletakkan tepi ummi, tapi ummi hanya mampu mengusik amir dengan jari..tergamam..terharu…gembira..sedih..semua bercampur baur…

Ayah kata masa keluar amir adalah sedikit biru. Namun APGAR score amir adalah 9. Selepas amir dibersihkan, amir diberikan kepada ayah untuk diazankan..

Masa ini, doctor bertanya, “ada rasa nak meneran lagi, kan?”

Ummi menjawab, “ye. Perlu teran ke doctor?”

“eh takpe..” jawab doctor.

Selepas itu, ummi terasa satu lagi..gusshhh kecil…itulah uri amir pula yang keluar..
Dan doctor teruskan dengan prosedur menjahit.

Ummi dapat agak, panjang kesan koyak ini, sebab agak lama juga masa diambil doctor untuk menyudahkan jahitan.

Ayah dah dua tiga kali angkat amir. Amir ada diletakkan sekejap dalam bekas bertutup untuk oksigen..

6pagi – ummi ditolak kembali ke wad. Berkali-kali kami tegaskan untuk bagi amir susu badan.

Sebelum sampai amir ke ummi, ummi tak boleh tidur. Rasa gembira dah mengatasi segalanya. Ummi sms semua orang bagitahu kelahiran amir.

Tokma dan tok abah pun dah balik berehat masa ini. Maklumlah, sepanjang malam mereka berjaga tunggu amir..

7pagi- amir ditolak sampai ke ummi untuk disusukan…

Dan Alhamdulillah sehingga kini…sehingga terbacanya coretan ini…amir masih menyusu badan…rezeki dari Ilahi..

01 JANUARI 2011…

Bermulalah era baru dalam kehidupan ummi dan ayah…

“Ya Allah…betapa ku syukuri segala nikmatMu yang begitu indah dan berharga…Kau berkatilah keluargaku..Kau jadikanlah daripada keturunanku anak-anak soleh dan solehah..yang kelak bakal menjadi pemimpin kepada umatmu yang bertaqwa…Kau bantulah kami membentuk amanah2Mu ini dengan sebaik2 dan seindah2 akhlak, seperti Rasulullah…Kau kurniakanlah kami kesabaran yang tiada batasannya…Dan ampunkanlah kami Ya Allah..ya Rabbi..Ameennn..”


 





8 comments:

Xiet_Enigma said...

'eid milad amir hamzah. Jadi anak soleh ye...

All about a journal said...

Thanks xiet sudi baca entry yang berjela2 ni...
Nice knowing you...

humble.yat said...

salam..alamak dah lambat ke nak wish amir..selamat hari lahir amir...:-)

seronok sy baca entri ni, alhamdulilah, amir sedang membesar skrg kan..semoga dia menjadi anak yg soleh...ameen!

All about a journal said...

salam..

Tak terlambat aih..selagi dia tak masuk 2 tahun..heheh..

Itulah..detik-detik berharga seorang wanita..detik yang begitu rapat dengan kematian..yet begitu banyak kebahagiaan...

Anonymous said...

Nice story flow..

Feel that hurt till the end....^^"

Anonymous said...

Happy besday Amir Hamzah...

Anonymous said...

Hehe.. berdebar2 pulak membacanya.. wah 1 januari, pandai Amir pilih hari utk keluar ya :)

All about a journal said...

Hehe...tula..nak masuk 2 ni pun..berdebar-debar gak ni..